Ads Top

Peningkatan Rosot Nilai Jejas Untung Suku Ketiga Aeon Credit


Keuntungan bersih Aeon Credit Service (M) Bhd bagi suku ketiga (Q3) berakhir 30 Nov, 2019 susut kepada RM69.93 juta berbanding RM87.14 juta setahun lepas, dijejaskan terutamanya oleh peningkatan kerugian rosot nilai. Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, penyedia perkhidmatan kewangan bukan bank itu berkata rosot nilai pembiayaan belum terima pada suku tahun di bawah kajian tersebut meningkat kepada RM114.47 juta daripada RM61.51 juta, sebelumnya.

Ini menjadikan pembiayaan bersih belum terima selepas rosot nilai, kepada RM9.33 bilion pada 30 Nov, 2019 berbanding RM7.74 bilion pada 30 Nov tahun lepas. Bagaimanapun, hasilnya meningkat kepada RM402.46 juta daripada RM348.50 juta pada tahun sebelumnya, dipacu oleh jumlah transaksi urus niaga dan pembiayaan yang lebih tinggi iaitu menokok sebanyak 9.4 peratus tahun ke tahun kepada RM1.59 bilion.

"Nisbah pinjaman tidak berbayar adalah 1.93 peratus setakat 30 Nov 2019 berbanding 2.05 peratus pada 30 Nov, 2018.

"Pendapatan lain bagi suku semasa (Q3) mencatat RM31.16 juta, kebanyakannya merangkumi hutang lapuk yang diperoleh serta pendapatan komisen daripada jualan produk insurans," katanya.

Bagi tempoh sembilan bulan yang berakhir pada 30 Nov, keuntungan bersih Aeon Credit merosot kepada RM203.66 juta daripada RM267.01 juta.

"Keuntungan bersih lebih rendah (sebanyak RM272 juta) bagi tempoh kewangan setakat ini (berbanding RM357.07 juta sebelum ini) adalah disebabkan terutamanya oleh peningkatan rosot nilai daripada pembiayaan belum terima sebanyak RM362.50 juta di bawah ketetapan MFRS 9 berbanding RM213.85 juta pada tahun sebelum ini yang sebahagian besarnya disumbangkan oleh pertumbuhan (pembiayaan) belum terima di bawah tempoh kajian tersebut," katanya.

Jumlah hasil bagi tempoh kewangan setakat ini adalah RM1.19 bilion berbanding RM1.01 bilion bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya, kata syarikat itu.

"Nisbah liputan kerugian pinjaman adalah 363 peratus setakat 30 Nov, 2019, berbanding 338 peratus bagi tempoh sama tahun lepas," katanya.

Menyentuh prospek syarikat itu, Aeon Credit berkata permintaan domestik itu akan terus menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara ini dan perbelanjaan isi rumah berkemungkinan disokong oleh pertumbuhan pendapatan dan pekerjaan.

"Syarikat juga akan kekal berhemat dan berhati-hati dengan memberi keutamaan terhadap usaha meningkatkan kualiti aset selain memantapkan kos dan kecekapan operasi bagi kemajuan di masa depan," katanya.-Bernama


Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.