Ads Top

Banjir Membawa Rezeki Tak Terduga Kepada Penduduk Setempat


Setiap kali banjir besar melanda kampung, ramai penduduk tidak dapat bekerja malah terputus punca rezeki kerana mereka tidak dapat menoreh getah atau bekerja di kebun sawit. Sebaliknya, bagi segelintir penduduk Kampung Mawai Baru, di sini, mereka menyifatkan di sebalik musibah yang datang, Allah tetap menurunkan rezeki dalam bentuk yang lain.

Bagi seorang nelayan sungai, Mohd Nazri Shaari, 45, dia dan enam lagi rakannya mengambil peluang ketika banjir besar begini untuk memasang jaring di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran tebing Sungai Mawai Lama. Katanya, ketika inilah jika kena pada sasarannya, ikan-ikan sungai keluar ke semua kawasan dan terperangkap pada jaring yang mereka pasang.

"Sejak banjir besar lima hari lalu, kami memasang 50 utas jaring di beberapa kawasan terpilih dekat kebun-kebun sawit sekitar tebing sungai di kampung ini,” katanya kepada Bernama, ketika ditemui, di sini, hari ini.

Mohd Nazri berkata setiap mata jaring yang digunakan bersaiz 7.62cm hingga 12.7cm lebar manakala panjangnya menjangkau 20.1168m setiap satu utas. Dengan mata jaring itu, mereka mampu meraih kira-kira 40 hingga 50 kilogram ikan, yang dijual di simpang Jalan Kampung Mawai Lama-Tanjung Sedili bersama seorang lagi rakannya Mohd Sabri Haron.

“Ikan seperti baung, tilapia dan tongsan antara jenis-jenis ikan yang dapat ditangkap. Antara semua ikan tersebut, ikan baung mendapat permintaan yang tinggi kalangan pembeli yang datang sekitar kampung dan kawasan felda berdekatan,” katanya.

Buat masa ini, ikan baung dijual pada harga RM25 sekilogram, tilapia RM15 dan tongsan RM20 sekilogram. Semua pendapatan hasil jualan ikan berkenaan kemudiannya dibahagi sama rata, paling tidak antara RM200 hingga RM300 seorang sehari bergantung kepada hasil jaringan tersebut. Mohd Nazri berkata dengan cara itu, dapatlah mereka mencari wang tambahan bagi membeli keperluan persekolahan anak-anak tidak lama lagi.-Bernama


Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.