Ads Top

Anak Terlantar Hampir 11 tahun


Seorang suri rumah merayu sumbangan orang ramai bagi meringankan beban ditanggung demi menguruskan keperluan anak lelakinya yang terlantar hampir 11 tahun. Rohayati Usop, 53, berkata anaknya Muhammad Alif Akil Shaari, 27, terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke sekolah untuk menghadiri kelas tambahan apabila motosikal yang ditungganginya dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta.

“Akibat daripada rempuhan terbabit, separuh tempurung kepalanya dibuang akibat darah beku, dan terpaksa menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan Hospital Machang selama empat bulan sebelum dibenarkan pulang,” katanya ketika ditemui pemberita dirumahnya di Kampung Batu 23, Labok di sini.

Rohayati berkata, anak kedua daripada enam beradik itu yang dahulunya seorang periang kini hanya mampu terlantar sepanjang hari selain tidak mampu berkomunikasi.

“Akibat kemalangan itu juga, Alif terpaksa minum susu khas untuk kelangsungan hidupnya yang juga menjadi makanan harian melalui saluran tiub yang dipasang di hidung,” katanya.

Katanya, setiap bulan dia terpaksa memperuntukkan belanja hampir RM1,000 untuk Alif termasuk susu khas yang berharga RM46 satu tin yang hanya bertahan untuk dua hari sahaja selain lampin pakai buang.

Rohayati berkata, walaupun dia menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300, namun ia tidak mencukupi memandangkan suaminya Shaari Ahmad, 56, hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah dengan pendapatan RM1,000 sebulan menyebabkan dia sekeluarga terpaksa berjimat-cermat.

“Malah, ada ketika apabila kesempitan wang dan tiada pilihan lain, saya terpaksa memberi Alif teh susu bagi menggantikan dengan susu khas yang diminum olehnya sehinggalah ada wang kembali atau bantuan yang diberi daripada saudara terdekat,” katanya.

Tambahnya, dia juga mempunyai dua lagi anak yang masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Machang dan perlu ditanggung iaitu Muhammad Haikal, 17, dan Muhamad Syazwan,15.

Rohayati berharap ada pihak yang sudi membantu meringankan beban yang ditanggung ketika ini, dan orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Agro Bank bernombor 2006672000087606 atas nama Rohayati Usop atau boleh menghubunginya di talian +601117921938

Sumber : Bernama

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.